BINTULU: Usaha gigih berterusan yang diberikan oleh semua pihak telah merealisasikan impian untuk menyiapkan kesemua venue Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 sebelum ianya membukai tirai 17 Ogos ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh pihak terlibat di semua venue SUKMA XXI untuk memastikan semuanya berjalan lancar dengan mengambil kira pengaturan penerimaan tetamu, penginapan serta makanan dan minuman kelak.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai mengadakan lawatan ketiga-tiga venue SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai lawatan beliau, ‘Chef de Mission’ (CDM) Kontinjen Sarawak itu berpuas hati dengan persiapan yang telah dibuat di mana ketiga-tiga venue berkenaan hampir 100 peratus siap dan bersedia untuk menganjurkan acara.
Bintulu pada SUKMA XXI ini akan menjadi tuan rumah kepada tiga acara iaitu Muay Thai yang akan berlangsung di NAIM Bintulu Paragon Street Mall manakala bola sepak dan sepak takraw masing-masing akan berlangsung di Stadium Muhibbah dan Stadium Bintulu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Angellie Stephen Raja dan Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti. -EDISI UKAS