LAWAS: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) menyasarkan penternakan kerbau di wilayah ini meningkat 25 peratus menjelang 2030.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Sarawak mempunyai Stesen Meragang di sini yang menternak dan mengeluarkan hasil ternakan kerbau terbesar.
Menurut beliau, Stesen Meragang kini menempatkan kira-kira 11,000 ke 12,000 ekor kerbau dan jumlah ini disasarkan meningkat kepada 25,000 ke 30,000 ekor menjelang tahun 2030.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Lawas pada Khamis.
Pameran tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Untuk mencapai sasaran ini, Datuk Dr Abdul Rahman memberitahu Kerajaan Sarawak akan membuat pendekatan untuk menswastakan stesen-stesen penternakan ternakan kerbau di samping ternakan lain seperti lembu dan kambing.
Mengulas mengenai perkembangan Stesen Meragang tersebut, beliau memberitahu bahawa kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana sebanyak RM16 juta membina kilang pembuatan keju yang kini 75 peratus siap.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia Datuk Lokman Hakim Ali, Pengarah Jabatan Veterinar Sarawak Datu Dr Adrian Susin Ambud, Pengarah Wilayah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Pengiran Jawa. -EDISI UKAS