Program ANMS Peringkat Daerah Simunjan Meriah

Disiarkan pada 10 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS








SIMUNJAN : Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Simunjan yang diadakan di Dewan Mesra Simunjan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, Agenda Nasional Malaysia Sihat adalah pakej kesejahteraan kesihatan yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sebagai peneraju utama, dengan sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Tujuan utama ANMS adalah untuk membudayakan hidup sihat dan memastikan persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan rakyat Malaysia Madani dalam usaha untuk menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera sepanjang hayat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program tersebut pada Sabtu.

Rodiyah juga berharap menerusi Agenda Nasional Malaysia Sihat, masyarakat di sini dapat membudayakan hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat, menjaga kesihatan mental dan melakukan kawalan kesihatan kendiri.

Beliau menyeru agar warga Simunjan dan masyarakat dari daerah lain terus membudayakan hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat dan menjaga kesihatan mental untuk mengukuhkan daya ketahanan badan melawan penyakit.

Dalam pada itu, Rodiyah juga turut melancarkan Kit Pendidikan Penyusuan Susu Ibu untuk memberikan pelbagai medium dalam penyampaian pendidikan penyusuan susu ibu kepada para ibu sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia diraikan pada 1 hingga 7 Ogos setiap tahun.

Sambutan ini bertujuan untuk memaklumkan, menetapkan matlamat, menggesa dan melibatkan diri dalam usaha melindungi dan menyokong amalan penyusuan susu ibu yang bertemakan ‘#Rapatkan Jurang: Sokong Susu Ibu Sepenuhnya’ yang menekankan kelangsungan hidup, kesihatan, dan kesejahteraan.

Terdahulu Rodiyah bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris telah melakukan 'flag off' bagi acara Jalan Untuk Sihat ANMS dan seterusnya turut serta dalam acara tersebut.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Simunjan Dr. Joshua Peterson Peter Legi, Ketua Cawangan Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Lilis Suriani Razali, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Mohd Rizal Zakaria, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan Mohd. Raili Jawawi dan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Simunjan Bandar Sapian Dubli. -EDISI UKAS