PUTRAJAYA: Golongan muda di Sarawak diseru berani untuk menerokai industri penternakan ikan empurau kerana berpotensi menjana sumber pendapatan lumayan.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ikan empurau merupakan spesies ikan termahal di Malaysia dan menerima permintaan yang tinggi.
Menurutnya, ikan empurau sangat bernilai tinggi dan boleh menjana sumber pendapatan lumayan kepada mereka yang menceburi penternakan ikan tersebut.
"Generasi muda yang berminat menceburi bidang ternakan air tawar ini boleh bekerjasama atau mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar-pakar daripada institusi pengajian tinggi berkaitan teknik dan teknologi terkini dalam penternakan ikan air tawar seperti empurau.
"Pada masa ini ikan empurau dijual sehingga mencecah RM1,000 sekilogram di Semenanjung.
"Ada empat restoran di Semenanjung yang membeli ikan empurau, namun pada masa ini tetapi ikan tidak cukup bekalan kerana ada pelanggan yang sanggup bayar RM2,000 sehingga RM4,000 untuk menu masakan ikan empurau," katanya.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata demikian semasa menerima kunjungan rombongan ahli-ahli Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Bukit Goram di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Dato Sri Fadillah menjelaskan, bagi golongan muda atau usahawan yang berminat menceburi bidang penternakan ikan empurau, kementeriannya, boleh membantu dari segi menyediakan kemudahan tenaga boleh diperbaharui. -EDISI UKAS