SUKMA XXI: Sarawak Bersedia Sambut Kehadiran Lebih 1,000 Pengamal Media

Disiarkan pada 10 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS






KUCHING: Sarawak sudah bersedia untuk menyambut kehadiran lebih 1,000 pengamal media dari seluruh negara yang akan bertugas sepanjang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 dijadual bermula pada 17 Ogos ini.

Ketika ini, persiapan untuk menyambut kehadiran pengamal media cetak, elektronik dan atas talian yang akan berkampung di Kuching sedang giat dipersiapkan.

Bagi memastikan kelancarannya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee turun padang meninjau persiapan akhir di dua pusat media di Kuching sebelum ia diaktifkan bermula esok.

Dua pusat media tersebut adalah Pusat Media Utama Sukma XXI Sarawak 2024 bertempat di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya dan Pusat Penyiaran SUKMA XXI Sarawak 2024 terletak di Stadium Sarawak Petra Jaya.

Ia dijadual dirasmikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah petang esok.

Turut hadir semasa lawatan tersebut Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Samuel Simon. - EDISI UKAS