Projek Pakej 1 Di Jalan Pasi Ke Jalan Sibu Dijangka Siap Mei Tahun Hadapan

Disiarkan pada 09 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS





SARIKEI: Projek pembinaan Pakej 1 iaitu pembinaan Jalan Pasi ke Jalan Sibu seterusnya ke Tanjung Manis dijangka akan siap pada Mei 2025. 

Sehubungan dengan itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah melakukan lawatan terhadap projek tersebut bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pada Jumaat bagi meninjau sendiri perkembangan projek berkenaan.

Jelas beliau sempena lawatan tersebut, pembinaan jalan ini amat signifikan dalam usaha meningkatkan jaringan perhubungan dan rangkaian jalan pantai sediaada dengan Jambatan Batang Rajang.

Mengulas lanjut mengenai lawatan beliau, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menambah, projek ini menelan peruntukan sebanyak RM321,377,700 secara keseluruhannya.

Justeru katanya, pembinaan jalan tersebut perlu disiapkan mengikut jadual memandangkan ianya berfungsi sebagai penyambung untuk melengkapkan jaringan perhubungan yang hilang antara Sarikei dan Tanjung Manis sekaligus dapat menyingkatkan jarak perjalanan penggunanya kelak.

Hadir sama, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dato' Sri Huang Tiong Sii, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri William Mawan Ikom, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Datuk Ding Kuong Hiing, Pengarah JKR Sarawak Cassidy Anak Morris, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datu Chiew Chee Yau, Timbalan Residen Bahagian Sarikei Baijuri Bidin serta Jurutera Bahagian JKR Bahagian Sarikei Kennedy Kedo. – EDISI UKAS