Kontraktor Digesa Ambil Tindakan Segera Siapkan Pembinaan SK Dijih

Disiarkan pada 09 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS




MUKAH: Pihak kontraktor digesa untuk mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan kerja-kerja pembinaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Dijih yang mengalami kelewatan dari tarikh ditetapkan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, kerja pembinaan tersebut harus dilaksanakan mengikut standard yang telah ditetapkan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai mengadakan lawatan ke SK Dua Sungai di sini baru-baru ini. 

Lawatan daripada Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) itu telah diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. 

Hasil lawatan tersebut mendapati kerja-kerja pembinaan SK Dua Sungai telah memasuki fasa akhir. 

Sementara itu, beliau yang juga Menteri MIPD menerima laporan bahawa projek di SK Kampung Petanak dijangka akan siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini. 
 
Untuk rekod, projek pembangunan sekolah daif di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian telah diperuntukkan dana sebanyak RM1 bilion yang mana ia melibatkan tiga sekolah rendah iaitu SK Dua Sungai, Sk Kampung Petanak dan SK Dijih. 

Hadir sama, Timbalan Menteri MIPD Datuk Ir Aidel Lariwoo, Pengarah JKR Sarawak Ir Dr Cassidy Morris dan Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh. -EDISI UKAS