Kerajaan Sarawak Berusaha Selesaikan Isu Berbangkit Pelaksanaan Projek Jalan Perhubungan Luar Banda

Disiarkan pada 09 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS



KAPIT: Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha untuk menyelesaikan isu berbangkit mengenai pelaksanaan projek jalan perhubungan ke kawasan luar bandar.

Demikian menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa mempengerusikan 
Mesyuarat Pemantauan Projek (Rural Connectivity) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kapit dan wakil rakyat tempatan anjuran Pejabat Residen Bahagian Kapit di sini pada Khamis.

Mesyuarat itu merupakan salah satu program 'turun padang' yang dilaksanakan Datuk Amar Douglas Uggah untuk meninjau sendiri dan berbincang dengan ketua-ketua agensi pelaksana serta berbincang dengan wakil rakyat tempatan.

Dalam mesyuarat itu, beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak telah diberi taklimat mengenai projek-projek yang telah dilaksanakan dan projek-projek yang akan dilaksanakan khususnya di Bahagian Kapit oleh Residen Bahagian Kapit Galong Luang.

Sementara itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, keperluan penambahan kakitangan JKR Bahagian Kapit khususnya petugas lapangan akan diusahakan pada penghujung tahun ini. 

Beliau turut memaklumkan akan membawa isu penarikan bayaran Elaun Berkhidmat Kawasan Pedalaman (EBKP) daripada semua kakitangan kerajaan negeri yang berkhidmat di Bahagian Kapit kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak untuk menilai semula keputusan penarikan elaun berkenaan

Dalam pada itu, beliau turut membuat tinjauan  jalan akses ke Empangan Hidroelektrik Baleh di situ.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri di Jabatan Menteri Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo serta yang lain.-EDISI UKAS