SIBU: Projek mega di bawah kerajaan Sarawak iaitu pembinaan jalan dari Sibu Jaya ke Jalan Kong Yit Khim dijangka siap sebulan lebih awal dari tarikh asalnya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, projek yang menelan perbelanjaan sebanyak RM104.4 juta itu sepatutnya siap pada bulan Disember 2024 namun komitmen tinggi telah ditunjukkan oleh kontraktor membolehkan ia siap November ini.
"Pada asalnya projek tersebut dijadualkan siap pada Disember 2024, namun kontraktor komited untuk menyelesaikannya lebih awal.
"Kami sangat gembira melihat kemajuan ini walaupun pada awalnya terdapat beberapa halangan, tetapi kontraktor yang berpengalaman telah berjaya mengatasinya," jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas turun padang untuk menyaksikan perkembangan projek berkenaan pada Jumaat.
Sehubungan dengan itu, beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak memberitahu, adalah menjadi keperluan untuk beliau bersama kementerian dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk turun padang dalam usaha memastikan setiap projek berada di landasan yang betul.
“Kami ingin mengetahui dengan tepat perkembangan dan liputan jalan raya di kawasan luar bandar dan berapa banyak rumah panjang dan kampung yang belum dihubungkan dengan jalan raya.
“Dan seperti yang anda tahu, kerajaan Sarawak sedang melaksanakan rancangan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 untuk menjadi negeri maju namun sekiranya masih banyak rumah panjang dan kampung yang belum dihubungkan dengan jalan raya, ini bermakna ada masalah yang perlu kita tangani segera,” jelas beliau lagi.
Terdahulu, Datuk Amar Douglas Uggah memaklumkan bahawa beliau bersama Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) dan JKR telah turun padang ke Miri, Bintulu, Mukah, Kapit, Sibu, dan Sarikei bukan sahaja untuk memantau program sedia ada malah mengumpul data yang tepat mengenai kesalinghubungan jalan raya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Setiusaha Tetap MIPD Datu Chiew Chee Yau, Pengarah JKR Sarawak Ir. Dr. Cassidy Morris, Timbalan Pengarah (Infrastruktur) JKR Ir. Wisil Lichok. -EDISI UKAS