SUKMA 2024: MYSED & KBS Bermesyuarat Pada 30 April Ini

Disiarkan pada 11 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) akan mengadakan satu mesyuarat bersama pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 30 April ini. 

Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mesyuarat itu nanti akan dipengerusikan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang mana akan disertai oleh semua perwakilan sukan seluruh negara. 

“Dalam mesyuarat itu kita akan membentangkan sekiranya ada masalah. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pula akan memaklumkan mengenai bajet, peruntukan dan sebagainya,” jelas beliau. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 anjuran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu. 

Mengulas mengenai persiapan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada Ogos depan, Dato Sri Abdul Karim memberi jaminan bahawa setiap persiapan yang dilaksanakan di semua daerah terlibat berjalan dengan lancar. 

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menasihati para atlet yang menjalani latihan agar berhati-hati untuk mengelakkan berlakunya sebarang kecedaran pada akhir persiapan mereka. 

“Jadi saya harap atlet lain supaya lebih berhati-hati, kita tidak mahu mereka alami kecederaan dan sebagainya,” ujar beliau lagi. 

Hal ini ekoran salah seorang atlet pelumba basikal dari kontijen Sarawak mengalami kecederaan di pipi dan patah tulang kelangka semasa sesi latihan beliau. 

Dalam menjayakan temasya sukan berprestij itu nanti, Sarawak mengharapkan KBS dapat menyalurkan bantuan secukupnya untuk meringankan kewangan negeri ini. -EDISI UKAS