SARIKEI: Penyaluran dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) oleh kerajaan perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan menolak sebarang elemen penyelewengan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, ini kerana dana MRP amat signifikan bagi mempercepatkan proses pembangunan komuniti di sesebuah kawasan.
Justeru tegasnya, setiap penerima geran MRP perlu amanah dan memanfaatkan peruntukan yang disalurkan bagi kepentingan bersama komuniti.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian cek MRP kepada 42 organisasi di Pusat Khidmat DUN Repok pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu menambah, setiap penerima perlu bekerjasama dalam membantu membawa pembangunan di Sarikei khasnya.
Katanya, kerjasama antara persatuan, kelab, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) penting dalam memperkukuh pembangunan di bahagian tersebut.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut Penghulu Huang Tiong Kang dan Kapitan Ling Dien Yong. -EDISI UKAS