Sarawak peruntuk RM4.9 bilion bina 16 jambatan

Disiarkan pada 08 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS




BALINGIAN: Kerajaan Sarawak membelanjakan RM4.9 bilion untuk melaksanakan pembinaan 16 projek jambatan di seluruh negeri ini. 

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, projek-projek berkenaan kini sedang giat dilaksanakan.

Menurutnya, projek ini adalah hasil kebijaksanaan Premier Sarawak dalam menguruskan sumber pendapatan negeri untuk membiayai projek-projek pembangunan tersebut. 

“Kami sedang membina 16 jambatan di seluruh negeri dengan kos RM4.90 bilion. Jalan perhubungan kita telah bertambah baik pada masa sekarang.

“Ini adalah usaha-usaha Yang Amat Berhormat Premier kita bijak dan mampu mencari pendapatan untuk Kerajaan Sarawak bagi membiayai perlaksanaan projek-projek ini.” 

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa siri lawatannya kerjanya di Balingian, Mukah pada Rabu.  

Katanya, tiga jambatan utama iaitu Jambatan Batang Paloh, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Muara Lassa dijangka siap pada penghujung 2025 dengan Jambatan Muara Lassa dijangka siap akhir tahun ini yang menelan kos sebanyak RM1.614 bilion. 

Apabila projek ini selesai katanya, pengguna dari Tanjung Manis dapat terus memandu ke Balingian tanpa perlu menggunakan feri seperti sekarang.

Selain itu, dua laluan di sepanjang kawasan tersebut akan dinaik taraf dengan peruntukan RM16 juta oleh ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan projek ini akan dipercepatkan pelaksanaannya.

Datuk Amar Douglas Uggah juga menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau kemajuan pelaksanaan projek pembangunan di Sarawak bagi mengelakkan sebarang penangguhan dan memastikan projek tidak menjadi projek sakit atau kritikal.

"Ini penting bagi menghentikan sebarang projek daripada ditangguhkan dan menjadi projek sakit bahkan kritikal," katanya.

Lawatan tersebut bermula pada Isnin lalu, melalui jalan darat dari Miri, diikuti Bintulu dan kini di Mukah. 

Di Mukah, beliau turut meninjau kemajuan projek jalan pesisir dan melawat SK Dua Sungai, Mukah.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Menteri MIPD Datuk Aidel Lariwoo, Setiausaha Tetap MIPD Datu Chiew Chee Yaw dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Dr Cassidy Morris. -EDISI UKAS