1,000 Jemaah Solat Sunat Aidilfitri Di Masjid Al-Muttaqin

Disiarkan pada 10 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muttaqin bersempena sambutan 1 Syawal di sini disertai lebih kurang 1,000 jemaah.

Hasil tinjauan wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), mendapati orang ramai mulai hadir pada jam 8 di mana mereka terus bertakbir Raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimam oleh Imam Masjid Al-Mutaqqin Awang Aidel Zulfikar Awang Aiden.

Dalam majlis tersebut, Imam 1 masjid berkenaan, Hamdan Sedi turut menyampaikan khutbah yang bertajuk ‘ Merayakan Kejayaan Meraih Ketaqwaan’ bagi mengingatkan umat Islam tentang erti pengorbanan, kesusahan dan ketaatan dalam melaksanakan perintah Allah SWT. 

Sempena Syawal tahun ini, umat Islam juga diingatkan untuk terus mengamalkan amalan ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan untuk mengeratkan terus hubungan silaturahim antara rakyat di negeri ini.

Setelah sebulan berpuasa, umat Islam telah dididik untuk menahan diri daripada godaan nafsu serta membantu mereka yang memerlukan dalam menjalani ibadah yang dituntuk dalam Islam.

Justeru, Hamdan menyeru agar umat Islam sentiasa mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan dan mengamalkan amalan-amalan baik yang telah dipraktikkan sepanjang bulan Ramadan. -EDISI UKAS