JKR Bahagian Serian Serah 2 Projek Siap

Disiarkan pada 10 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Serian telah menyerahkan dua projek di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) melibatkan Kampung Kranji Atas dan Kampung Mapu Tantu di sini.

Projek pertama adalah projek menaik taraf dewan serbaguna di Kampung Kranji Atas yang bermula pada Disember tahun lalu dengan kos pembinaan sebanyak RM150,000.

Antara skop naik taraf dewan serbaguna tersebut adalah memasang sengkuap keliling dewan, membina parit dan pendawaian serta pemasangan aksesori elektrik.

Manakala itu, projek RTP kedua diserahkan oleh JKR Bahagian Serian adalah projek menaik taraf Gereja St Mathew yang mana pembinaannya bermula pada 18 Disember 2023 dengan kos keseluruhan sebanyak RM200,000. 

Kerja-kerja naik taraf di gereja berkenaan melibatkan pemasangan jubin, membina tandas, pendawaian elektrik, perparitan dan dinding penahan tebing gereja baharu itu.

Hadir menyaksikan simbolik penyerahan kedua-dua projek siap tersebut ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup berpuas hati dengan hasil kerja yang disampaikan oleh kontraktor yang dilantik serta merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kedua-dua buah kampung atas kerjasama yang diberi sepanjang projek tersebut dilaksanakan. 

Hadir sama, Jurutera JKR Bahagian Serian Martina Aisan, Pegawai Tadbir Khas kepada Datuk Martin Boniface Alin Tanung, Ahli Majlis Daerah Serian Robin Augustine Kiek dan Tuai Rumah Kampung Kranji Atas Sipuron Belitong. -EDISI UKAS