SIBU: Bahagian Sibu dipilih menjadi tuan rumah bagi Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 yang bertemakan "Jiwa Merdeka".
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, tema ini membawa makna yang mendalam, mengingatkan rakyat tentang kepentingan memupuk semangat merdeka dalam setiap aspek kehidupan.
Menurutnya, "Jiwa Merdeka" adalah cerminan daripada semangat dan kekuatan yang telah menggerakkan negara kita menuju kemerdekaan.
"Ia adalah simbol kepada keberanian dan daya juang para pejuang yang telah mengorbankan segalanya demi memastikan kita dapat menikmati kebebasan dan kehormatan sebagai sebuah bangsa yang berdaulat," katanya dalam sidang media Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 di sini pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Hamdan Sharbini serta pegawai-pegawai kerajaan lain.
Dato Sri John Sikie menambah, acara-acara tonggak bagi Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak Tahun 2024 akan diadakan bermula daripada 30 hingga 31 Ogos 2024.
Katanya, terdapat tiga acara utama telah disusun dan diatur sebaik mungkin oleh Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) selaku penganjur utama.
"Acara pertama ialah Konsert Ambang Hari Kebangsaan pada 30 Ogos ini bermula jam 8 malam bertempat di Dataran Tun Tuanku Bujang, Sibu.
"Pelbagai acara ini telah disusun meliputi persembahan etnik kreatif daripada D’Sibu Tari. Kita juga akan diiringi persembahan muzik pop dan jazz daripada orkestra daripada Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS).
"Selain itu, nyanyian daripada artis popular tanah air iaitu Kumpulan Floor 88 serta artis anak-anak tempatan kita, iaitu Firdaus Materang, Ng Chien Chien, Sazia Selair dan Mal Imran.
"Kita menyasarkan kira-kira 5,000 orang akan hadir menyaksikan konsert Ambang Hari Kebangsaan ini nanti dan kita mahu penglibatan semua golongan masyarakat tanpa mengira umur dan kaum," jelasnya.
Dato Sri John Sikie dalam pada itu memberitahu, acara kedua pula ialah Fun Walk pada 31 Ogos 2024 bertempat di Dataran Tun Tuanku Bujang, Sibu.
"Pada sambutan tahun ini, kita amat berbesar hati kerana Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar beserta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi berkenan untuk menyantuni rakyat dan turut serta dalam acara ini.
"Acara yang akan bermula jam 7.00 pagi ini melibatkan jarak sejauh 2.4 kilometer dan menyasarkan penyertaan seramai 5,000 orang," katanya lagi.
Manakala acara seterusnya kata beliau ialah Perhimpunan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2024 bermula jam 11 pagi dan berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, UTS Sibu.
"Acara induk pada 31 Ogos ini dijangka dihadiri Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Fauziah, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan isteri Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang, anggota Kabinet Sarawak dan tetamu kenamaan lain," tambahnya.
Perhimpunan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 akan disiarkan secara langsung di TVS saluran 122 Astro dan MyTV serta di Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Youtube, UKAS Channel. -EDISI UKAS