KUCHING: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) yang diketuai oleh Timbalan Menterinya, Datuk Michael Tiang Ming Tee turun padang untuk memeriksa beberapa projek perumahan di sini yang dikenal pasti sebagai projek sakit termasuk Taman Landeh Heights 2.
Dalam satu kenyataan media pada Rabu, beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak melalui MPHLG komited untuk membantu pembeli rumah yang terjejas melalui kerjasama semua pihak.
Dalam lawatan ke Taman Landeh Heights 2 baru-baru ini, beliau mendapati majoriti pembeli rumah telah mengambil milikan kosong di mana beliau menekankan pentingnya pembeli memahami dan melaksanakan hak mereka melalui nasihat daripada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah dan Tribunal Pengurusan Strata.
Di Matang, projek Taman Millennium yang juga projek sakit, kini sedang dilaksanakan semula dan dijangka siap akhir tahun ini selepas diselamatkan oleh kontraktor baharu.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa pihak MPHLG akan terus memantau kemajuan projek untuk menangani kebimbangan pembeli.
Lawatan pada hari tersebut turut meliputi Taman Greenwoods yang telah siap secara fizikal dan Taman Sri Kenyalang yang mengalami kelewatan kritikal.
Bagi kedua-dua projek perumahan itu, beliau memberitahu pihak MPHLG terpaksa campur tangan untuk memastikan projek-projek ini dapat diserahkan kepada pembeli rumah.
Katanya, MPHLG akan terus merancang strategi dan meningkatkan proses kerja untuk memantau pelaksanaan projek dan membantu mereka yang terjejas oleh kelewatan projek. -EDISI UKAS