MINTRED Peruntuk Dana RM386.1 juta, Perkasa PKS Sarawak

Disiarkan pada 08 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) telah memperuntukkan dana berjumlah RM386.1 juta untuk menyokong serta memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di wilayah ini.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ini bertujuan mengukuhkan ekosistem perniagaan di Sarawak dan memberi peluang kepada PKS untuk terus berkembang.

Menurutnya, sokongan berkenaan merangkumi bantuan dari pelbagai aspek termasuk program pembangunan usahawan, bantuan kewangan serta infrastruktur seperti anjung usahawan dan taman perindustrian.

"MINTRED juga akan terus melaksanakan program Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK) serta Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV).

"Selain itu, Program Keusahawanan Digital, Program Asas Keusahawanan, Program Keusahawanan Teknikal dan Teknologi serta Promosi Produk juga akan diteruskan," katanya.

Datuk Amar Awang Tengah berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Datuk Dr. Ripin Lamat ketika mewakili beliau menyempurnakan Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Perhimpunan Perwakilan Tahunan Ke-23 di sini pada Selasa.

Majlis anjuran Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) itu turut dihadiri Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak Datuk Abang Helmi Tan Sri Ikhwan, Residen Bahagian Miri Jamali Busri, Naib-naib Presiden DUBS Datuk Abdul Kadier Sahib, Roselyn Long Lah dan Gabriel Kajeh Menggu, Pengerusi DUBS Miri Mohammad Hafidz Rohani, Ahli-Ahli Majlis Eksekutif DUBS serta semua Pengerusi Cawangan, Perwakilan dan Pemerhati.-Edisi UKAS