Kerajaan Persekutuan Bakal Gubal Undang-Undang Perdagangan Karbon Ikut Undang-Undang Sarawak

Disiarkan pada 10 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kerajaan Persekutuan telah menyatakan persetujuan bagi menggubal undang-undang perdagangan karbon berdasarkan undang-undang yang digubal oleh Kerajaan Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkara tersebut telah diputuskan semasa Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim pada minggu lepas.

Menurutnya, sebelum ini beliau sendiri sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri berhubung penggubalan undang-undang perdagangan karbon perlu dipercepatkan.

"Kita (Kerajaan Sarawak) tidak boleh melakukannya bersendirian sebagai sebuah negeri kerana perkara ini mesti menjadi dasar negara dan saya beritahu beliau (Perdana Menteri) bahawa Kerajaan Persekutuan perlu memperkenalkan undang-undang karbon dengan segera.

"Jadi, Kerajaan Persekutuan akan menghantar para pegawai berkaitan untuk mengkaji dan menerapkan undang-undang Sarawak dalam undang-undang Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.

Untuk rekod, Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia yang menggubal undang-undang berkaitan perdagangan karbon selepas Rang Undang-undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November lepas.

RUU itu bertujuan meringankan kesan perubahan iklim dan membuka jalan bagi Sarawak memperoleh hasil menerusi perdagangan atau penjualan kredit karbon.

Premier Sarawak menambah, undang-undang karbon Sarawak adalah menyeluruh dan disyorkan oleh Bank Dunia.

Tegas beliau, undang-undang persekutuan amat diperlukan kerana perdagangan karbon melibatkan perjanjian antara kerajaan yang tidak dapat disertai Sarawak sebagai sebuah negeri.

“Jadi bagi bergerak ke hadapan, kita mesti ada parameter undang-undang untuk kita terlibat dalam perdagangan karbon antarabangsa serta mengurangkan pelepasan karbon,” katanya lagi. -EDISI UKAS