Wawasan Utama Mengenai Herpetologi Berpusat di WCH10

Disiarkan pada 07 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS





KUCHING: Kongres Herpetologi Sedunia Ke-10 (WCH10) 2024 telah menampilkan beberapa penceramah terkemuka dalam membincangkan pelbagai topik menarik mengenai herpetologi. 

Salah seorang penceramah terlibat adalah pakar herpetologi British, Harry Ward-Smith yang menyampaikan pengetahuan mengenai 'Sejarah Semula Jadi Herpetologi: Satu Bentuk Seni Sains'.

Semasa sesinya pada Selasa, Harry menekankan kepentingan herpetologi dalam memahami biodiversiti Bumi.

“Ia membantu mencipta hipotesis pada masa hadapan di mana kemudiannya boleh kita bina dan kongsi dengan generasi masa depan. 

“Selain itu, ia turut membantu kita mendokumentasikan Bumi dalam memahami interaksi antara spesies yang berbeza,” ujarnya.

Beliau juga menekankan betapa pentingnya rasa ingin tahu dan kreativiti dalam herpetologi, menggambarkannya sebagai 'lebih seperti seni atau sukan' daripada usaha saintifik yang ketat.

"Ya, kami menggunakan prinsip dan metodologi saintifik sebagai satu proses kreatif. Kami telah menjalankan penyiasatan dan penerokaan," jelasnya.

Menekankan kepentingan pendekatan strategik untuk kerja lapangan, Harry memperkenalkan konsepnya 'Herping Triangle', yang menilai bagaimana masa, jarak dan kemahiran boleh meningkatkan peluang untuk memerhati herpetofauna.

Dalam pada itu, beliau menganjurkan teknik inovatif seperti 'herping' di hulu atau ke hulu sungai dan menggunakan basikal untuk pelayaran di kawasan tropika yang memaksimumkan pemerhatian.

Beliau mengakhiri ceramah dengan menggesa peserta untuk mengambil peluang yang ada dalam meneroka di samping menekankan bahawa masih terdapat banyak penemuan yang perlu dibuat dalam dunia herpetologi.

Berikutan sesi ceramah yang memberi inspirasi daripada Harry, temu bual telah dijalankan dengan beberapa peserta bagi mengumpul pandangan mereka terhadap herpetologi.

Seorang pelajar PhD dari Jerman yang memberi tumpuan kepada kajian salamander api, Laura Schulte pula menyatakan bahawa amfibia adalah penting untuk memahami biodiversiti, kerana ia merupakan kumpulan yang paling terancam di dunia.

“Saya telah melakukan beberapa projek menarik dengan rakan usaha sama dari universiti lain dalam usaha melakukan pemuliharaan terhadap herpetologi. Sebagai contoh, kami melihat tahap tekanan dalam larva salamander api dan kami telah mendapati beberapa hasil yang sangat menarik.

“Justeru itu, sebaik sahaja saya menamatkan PhD, saya akan bekerja dalam pemuliharaan. Seperti yang saya katakan, amfibia adalah kumpulan yang paling penting untuk diberikan tumpuan melalui pemuliharaan kerana kita sudah kehilangan banyak spesies dan saya harap saya dapat membantu menyelamatkan sebahagian daripada mereka,” katanya. 
 
Pakar farmakologi dari Universiti Kebangsaan Tsinghua Taiwan, Chu Hock berkata, dia kini sedang mengkaji tentang racun ular, terutama penggunaannya dalam bidang bioperubatan.

“Saya percaya saya telah mencapai kemajuan yang ketara, walaupun projek itu masih diteruskan. Kerja ini memberi tumpuan kepada kebolehcapaian racun ular terutamanya dalam spesies Asia.

"Walaupun ia beracun dan boleh menyebabkan kemudaratan, namun ia juga berpotensi digunakan sebagai ubat-ubatan," katanya.

Persidangan yang bertemakan 'Membentuk Masa Depan Pemuliharaan Amfibia dan Reptilia Melalui Kerjasama Global' itu dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang openg dan menghimpunkan pakar herpetologi dari 70 negara, menawarkan platform untuk pertukaran pengetahuan dan kerjasama dalam bidang herpetologi. -EDISI UKAS