Percepatkan Pengenalan Perundangan Berkaitan Karbon: TPM

Disiarkan pada 10 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Pengenalan perundangan berkaitan berkaitan karbon di Malaysia perlu dipercepatkan.

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Fadillah Yusof memberitahu, kerajaan Sarawak telah meluluskan perundangan tersebut di Dewan Undangan Negeri dan perbincangan telah dilakukan dengan Majlis Tenaga Negara.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim juga memberikan persetujuan untuk mempercepatkan proses ini.

“Saya akan memanggil mesyuarat koordinasi di antara pelbagai kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan bagaimana kita dapat mempercepatkan pengenalan perundangan berhubungkait dengan bukan sahaja tenaga boleh diperbaharu tapi yang penting adalah karbon iaitu sama ada perdagangan karbon, kredit karbon dan juga penyimpanan karbon (CCUS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.

Dato' Sri Fadillah menambah, beliau menegaskan bahawa langkah ini akan melibatkan kerjasama di antara pelbagai kementerian dan agensi kerajaan persekutuan.

Jelas beliau, Sarawak sudah bersedia dari segi perundangan, peraturan dan juga sistem tetapi di peringkat persekutuan belum bersedia. 

Justeru katanya, perbincangan lanjut akan diadakan selepas Hari Raya untuk menyelaraskan undang-undang yang telah diperkenalkan di Sarawak sebagai asas untuk pembangunan undang-undang di peringkat Persekutuan. -EDISI UKAS