JKKK Digesa Libat Diri Dalam IKS Tingkatkan Pendapatan

Disiarkan pada 07 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS



PADAWAN:  Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) digesa melibatkan diri dalam industri kecil dan sederhana (IKS) bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil berkata, ahli JKKK perlu proaktif dalam membangunkan kampung dengan meningkatkan sosioekonomi setempat dengan menceburi bidang industri kecil dan sederhana (IKS).

 

“Aktiviti dalam bidang pertanian, pelancongan serta usahawan kecil dalam pembuatan produk makanan berasaskan pertanian mampu dilaksanakan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penangguhan Taklimat Pengurusan Ahli JKKK Daerah Kecil Padawan Siri 2 Tahun 2024 di Kampung Bratan Rabak Asah pada Ahad.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu berkata, IKS di kampung akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan penduduk di sekitar kawasan untuk bekerja.

 

Tambahnya, mengambil kira pembangunan infrastruktur di kawasan ini, ianya boleh dikatakan lengkap dan tidak mustahil untuk masyarakat di daerah ini mewujudkan IKS yang berjaya.

 

Dalam majlis sama, Datuk Dr Jerip menyampaikan Sijil Penyertaan Taklimat Pengurusan Ahli JKKK kepada Ketua-Ketua Kaum serta ahli JKKK di bawah Pejabat Daerah Kecil Padawan Zon Biperoh Penrissen yang disaksikan oleh Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi.

 

Beliau juga menyerahkan Sijil NRS Anak Sarawak kepada seramai tiga penerima.

 

Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Penguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong dan Pemanca Raymond Jihap. -EDISI UKAS