KUCHING: Padawan Raft Safari 2024 yang bakal berlangsung pada 20 Oktober ini akan menarik penyertaan sebanyak 150 pasukan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, penganjuran program ini dijangka menarik penyertaan sebanyak 150 pasukan tempatan dan antarabangsa dalam empat kategori.
“Antara kategori ditandingkan ialah Kayak (40 kilometer), Terbuka (32 kilometer), Badan Bukan Kerajaan (NGO) & Hotel (22 kilometer) dan Wanita (15 kilometer),” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Padawan Raft Safari 2024 di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya pada Selasa.
Katanya, para peserta Padawan Raft Safari 2024 berpeluang untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM19,000.
Dalam pada itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu berkata penganjuran program sebegini mampu menarik pelancong dari negeri lain dan luar negara selain pelancong sekitar Padawan.
“Kedatangan pelancong dari luar Sarawak adalah seramai 2,413,119 setakat Jun 2024 yang menunjukkan peningkatan 23.27 peratus berbanding Januari hingga Jun 2023 yang mencatat 1,957,658 pelancong.
“Manakala, resit pelancongan untuk tahun ini setakat Jun adalah sebanyak RM6,230,714,410.53 bilion berbanding tempoh sama tahun 2023 iaitu RM4,972,851,273.12 bilion,” ujarnya.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Desmond Douglas Jerukan dan ahli-ahli MPP. -EDISI UKAS