Rumah Terbuka Aidilfitri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Meriah

Disiarkan pada 10 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi berlangsung meriah di Astana Negeri Sarawak di sini hari ini.

Rata-rata pengunjung yang ditemui amat teruja dan tidak mahu melepaskan peluang bertemu dengan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi serta Toh Puan Fauziah.

Kemeriahan rumah terbuka tersebut turut diserikan lagi dengan kehadiran Premier Sarawak  Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi  dan Toh Puan turut menerima kunjungan daripada Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan, serta tokoh-tokoh kenamaan lain, wakil-wakil sektor swasta serta orang awam.

Antara yang turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian, Timbalan Perdana Menteri Dato' Sri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato' Sri Nancy Shukri, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Dato' Sri Tiong King Sing serta tetamu kenamaan lain.

Rumah terbuka tersebut diadakan di Dewan Besar Astana Negeri bermula dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang.

Para tetamu yang hadir juga turut disajikan dengan pelbagai juadah raya dan pelbagai aneka kuih muih.

Seterusnya Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan berkunjung ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak pada sebelah petang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato' Sri Dr Stephen Rundi Utom, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS