KUCHING: Orang ramai digesa agar memberi kerjasama dengan memberi laluan kepada pergerakan kenderaan rasmi yang digunakan sepanjang Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SUKMA XXI Sarawak 2024 Datu Hii Chang Kee berkata, sebanyak 244 buah bas termasuk van akan digunakan bagi pergerakan atlet-atlet dari perkampungan sukan ke 50 venue sukan di semua sembilan bahagian.
Menurut beliau, pihaknya akan meminta agar kenderaan rasmi kelak menampal logo-logo SUKMA 2024 bagi memudahkan orang ramai mengenalpasti kenderaan tersebut.
“Jadi kita menyeru rakyat di Sarawak terutamanya di Kuching dan bandar-bandar lain supaya bekerjasama memudahkan pergerakan kenderaan rasmi seperti bas, van, mahupun kereta yang diiringi polis pengiring untuk diberikan laluan.
“Yang paling penting adalah kami tidak mahu para atlet lambat menghadiri acara-acara sukan kerana kelewatan membolehkan penyertaan mereka dibatalkan, maka kami tidak ingin itu berlaku.
“Pihak atlet memang telah dinasihatkan untuk bertolak daripada perkampungan atlet dua jam lebih awal namun kesesakan trafik yang tidak dapat dielakkan menjadi masalah utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sesi Dry Run SUKMA XXI Sarawak 2024 di sekitar Kompleks Sukan Sarawak pada Selasa.
Datu Hii menambah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan membantu memastikan kelancaran trafik sepanjang temasya itu berlangsung.
Beliau dalam pada itu berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh agensi-agensi terbabit.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Datu Wong Hee Sieng dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Redzuan. -EDISI UKAS