Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak Dapat Sambutan Luar Biasa

Posted on 10 Apr 2024
Source of News: UKAS


KUCHING: Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier Sarawak mendapat sambutan yang luar biasa dengan kehadiran lebih 5,000 orang tetamu yang berkunjung pada sebelah pagi di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Turut memeriahkan majlis rumah terbuka itu ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta barisan Menteri-Menteri Kabinet Negeri yang lain.

Para pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama mula beratur panjang seawal jam 9 pagi bagi memeriahkan rumah terbuka tersebut.

Suasana meriah  berlangsung di BCCK di mana para tetamu berinteraksi dan berkongsi kegembiraan sambil menikmati kehangatan suasana sambutan Hari Raya.

Langkah-langkah keselamatan yang ketat turut diambil oleh pihak penganjur untuk memastikan keselamatan semua yang hadir.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak ini menjadi tumpuan bagi memperkukuhkan ikatan kekeluargaan dan keharmonian di kalangan rakyat Sarawak. -EDISI UKAS