Sokongan Padu Penjawat Awam Hadiah Terbaik Buat Premier Sarawak

Disiarkan pada 05 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Tiada hadiah berharga yang dapat diberikan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, melainkan komitmen dan kesetiaan seluruh penjawat awam di negeri ini untuk terus menyokong kepimpinan dan aspirasi beliau dalam menerajui bumi kenyalang.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, sokongan ini adalah hadiah terbaik untuk merealisasikan visi Datuk Patinggi Abang Zohari, menjadikan Sarawak terus maju dan makmur sehingga disegani di seluruh pelusuk dunia.

"Mewakili seluruh anggota perkhidmatan awam Sarawak, saya mendoakan semoga Allah SWT melanjutkan usia, mengurniakan kesihatan, kebahagiaan, kekuatan dan rahmat kepada Datuk Patinggi Abang Zohari.

"Petunjuk dan bimbingan yang diberikan sangat berharga bagi kami semua dan pada hari istimewa ini, kami ingin mengucapkan kepada Datuk Patinggi Abang Zohari, selamat hari lahir yang penuh dengan kegembiraan dan kebahagiaan bersama keluarga tersayang,"katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Jamuan Teh Jabatan Premier Sarawak bertempat di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Isnin.

Dalam majlis ringkas itu, Datuk Patinggi Abang Zohari diraikan dengan upacara memotong kek sempena ulang tahun kelahirannya yang ke 74 diikuti doa kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Dato' Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Hadir sama ialah isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Timbalan-timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ketua-Ketua Jabatan, serta tetamu kenamaan lain.-Edisi UKAS