Penganjuran Program E-Sukan Cungkil Bakat Baharu

Disiarkan pada 04 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS



SIMUNJAN: Penganjuran program e-sukan mampu mencungkil bakat baharu dalam golongan belia.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris berkata, kejohanan e-sukan ini merupakan satu cara untuk mencungkil bakat para belia dalam bidang e-sukan agar boleh menyertai kejohanan seperti ini ke peringkat yang lebih tinggi.

 

"Saya harapkan dengan adanya pertandingan ini dapat menjadikan para peserta lebih berani dan menjadikan ia satu profesion yang boleh membanggakan nama Simunjan, Sarawak amnya dan seterusnya Malaysia.

 

"Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa pelajaran juga adalah penting dan oleh itu para peserta harus pandai membahagikan masa antara permainan dan pelajaran agar ia bergerak seiring," jelasnya.

 

Beliau berkata demikian pada Kejohanan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) di sini pada Ahad.

 

Awla menzahirkan perasaan gembira atas semangat yang ditunjukkan oleh para peserta khususnya pihak penganjur kerana dapat mengumpul para belia di dalam satu program.

 

"Saya amat menyokong sepenuhnya program seumpama ini kerana ia dapat mengumpul para belia dalam program yang bermanfaat seperti ini.

 

"Ini sekaligus dapat mencegah serta mengelak para belia daripada terlibat dengan masalah gejala sosial atau perkara-perkara yang tidak berfaedah," katanya.

 

Difahamkan, kejohanan tersebut disambut baik oleh belia dari dalam dan luar Simunjan dengan penyertaan sebanyak 16 pasukan melibatkan hampir 100 orang belia.

 

Hadir sama, Pengerusi Bersama Penganjuran Mobile Legends Bang Bang Taib Atta Piee merangkap Pengerusi Kelab YKK E-Sport dan Mohd Razif Len, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Simunjan Kr. Rosita Poni dan Ketua PBB Zon 4 Rangawan Rafendy Ariffen. -EDISI UKAS