SERIAN: Kerjasama antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk harus dipertingkatkan untuk pembangunan kampung yang lancar.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben memberitahu, JKKK merupakan pemudahcara yang bertindak sebagai penghubung penting antara pihak Kerajaan Sarawak dengan masyarakat.
“JKKK harus lebih proaktif dan berperanan secara lebih efektif dalam mengurus kampung masing-masing.
“Perancangan dan pelaksanaan pelan tindakan harus dilakukan oleh JKKK setempat agar pembangunan kampung adalah ke arah mewujudkan kampung yang maju dan menguntungkan dalam apa sahaja kegiatan yang dijalankan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Penyerahan Sijil Lantikan JKKK Kampung Pridan di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup berkata, Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) akan melaksanakan projek membina baharu jalan pertanian di kawasan Kedup.
Datuk Martin mengesa para penduduk agar memberi kerjasama kepada GKCDA bagi memastikan projek dilaksanakan dengan lancar kerana ia bakal memanfaatkan penduduk setempat.
Dalam majlis sama, beliau menyerahkan cek dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Ketua Kaum Lawrence Nyadong yang mewakili JKKK Kampung Pridan.
Turut hadir ialah wakil Residen Bahagian Serian Wee Chung Yee dan wakil Pegawai Daerah Serian Jeff Current James. -EDISI UKAS