PADAWAN: Kampung Emperoh Semadang dicadangkan menjadi pusat pemprosesan dan pembungkusan kerepek pisang bagi konstituensi Mambong.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil memberitahu, industri produk kerepek pisang merupakan salah satu produk makanan yang mempunyai peluang yang baik.
“Usaha dan inisiatif Biro Wanita Emperoh Kampung Semadang bagi melahirkan usahawan kerepek secara kecil-kecil merupakan perkara yang amat baik dan amat bertepatan bagi mewujudkan usahawan kecil di kawasan ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Usahawan Kecil Biro Wanita Kampung Emperoh Semadang di sini pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu berkata, agenda pembangunan di kawasan Mambong memfokuskan kepada industri pelancongan dan pertanian.
Beliau mencadangkan menggabungkan Kampung Emperoh Semadang, Kampung Emperoh Garung dan Kampung Punau yang aktif dalam pengeluaran produk kerepek pisang untuk menjalani latihan untuk meningkatkan mutu dan cara pemasaran produk akan lebih baik.
Katanya, ini bertujuan bagi memastikan setiap produk makanan juga menepati mutu makan mengikuti piawai makanan yang telah tetapkan.
Dalam majlis sama, Datuk Dr Jerip turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta diluluskan bagi pemasangan lampu jalan di sepanjang Jalan Puncak bermula dari Kota Padawan hingga ke Kampung Annah Rais.
Katanya lagi, Kerajaan Sarawak telah meluluskan RM150 juta diperuntukkan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi melaksanakan projek pembangunan yang telah dirancangkan dan dipersetujui.
Beliau juga meluluskan Dana Geran Khas sebanyak RM50,000 kepada Biro Wanita Kampung Emperoh Semadang bagi melaksanakan latihan pengendalian makanan untuk kerepek pisang serta aktiviti tahunan biro itu.
Turut hadir ialah Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan Paul Mathiues Akin, Ketua Kaum Kampung Emperoh Semadang Austin Mapus dan Ketua Biro Wanita Kampung Emperoh Semadang Frider Rimong. -EDISI UKAS