RM100,000 Untuk Naik Taraf Dewan Serbaguna Kampung Jagoi Pinomu

Disiarkan pada 04 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS



BAU: Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep telah meluluskan geran peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Kampung Jagoi Pinomu untuk kerja menaik taraf dewan serbaguna.

 

Menurutnya, geran tersebut merupakan sebahagian daripada Projek Transformasi Luarbandar (RTP) dibawah konstituensi Tasik Biru bagi tahun 2025.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jagoi Pinomu di sini pada Sabtu.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu menambah, Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan bagi membina baharu dan menaik taraf dewan di setiap kampung pada setiap tahun.

 

Katanya, selain daripada peruntukan RTP, peruntukan bagi membiayai kos penyelenggaraan dewan, gelanggang futsal, badminton dan bil utiliti seperti air dan elektrik juga akan terus disalurkan kepada rakyat yang memerlukannya.

 

Dalam majlis sama, Dato Henry bersama isterinya Datin Christina Esni Mied telah menyampaikan sijil penyertaan kepada seramai 25 peserta kelas kraftangan manik.

 

Turut hadir ialah Penghulu Sumy Lidei dan Ketua Kaum Jaya Nyanga. -EDISI UKAS