Sarawak Bantu Tanggung Sebahagian Dana Bangunkan Kawasan Sempadan

Disiarkan pada 04 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menyalurkan peruntukan untuk menaik taraf kawasan sempadan wilayah ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, kerajaan pusat telah mengumumkan dana sebanyak RM1 bilion untuk membangunkan seluruh kawasan persempadanan antara Malaysia dan Indonesia yang melibatkan dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun jelas beliau, dana yang diumumkan itu dilihat tidak mencukupi lebih-lebih lagi apabila ia digunakan untuk meningkatkan seluruh kawasan sempadan.

Sehubungan dengan itu, Datuk Patinggi Abang Zohari bersetuju untuk bekerjasama dengan menampung sebahagian perbelanjaan tersebut manakala sentengah lagi akan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.

“Di sebelah persempadanan Malaysia, kita daripada Kerajaan Sarawak masih boleh bersetuju untuk mengadakan kerjasama ‘one-to-one’ dengan kerajaan Persekutuan di mana kita boleh mengeluarkan dana setengah-setengah untuk mempercepatkan pembangunan di sempadan kita,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Buku Biografi Gabenor Pertama Sarawak Tun Openg di Hikmah Exchange di sini pada Ahad.

Mengulas mengenai pengumuman dana RM1 bilion itu, Premier Sarawak memberi jaminan bahawa akan menggunakan dana tersebut bagi pembangunan di sempadan Tebedu dan Entikong terlebih dahulu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusuf telah mengumumkan dana tersebut untuk menaik taraf fasiliti di kawasan sempadan termasuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tebedu, Ba’kalalan, Biawak dan Tapak Megah di Kapit.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut memberitahu bahawa kerajaan Sarawak boleh membangunkan satu kawasan perindustrian di kawasan Tebedu melalui peruntukan yang dibiayai kerajaan Sarawak.

“Kita juga mempunyai satu kawasan perindustrian di sebelah Tebedu di mana kawasan tersebut kita boleh bangunkan dengan melabur di kawasan tersebut,” jelas beliau lagi.

Mengulas mengenai majlis pelancaran buku tersebut, Datuk Patinggi Abang Zohari menyifatkan Allahyarham Tun Datuk Abang Openg bukan sekadar ayahanda kepada beliau malah melihat individu tersebut sebagai mentor yang mencorak karakter beliau pada hari ini yang menekankan nilai integriti dalam pemerintahan.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Abdullah Zaidel serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS