SIBU: Kesemua 20 Jawatankuasa Kerja Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 Bahagian Sibu digesa agar memainkan peranan masing-masing dengan baik bagi memastikan kelancaran penganjuran temasya dwitahunan itu pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee berkata Sibu akan menjadi tuan rumah bagi tiga sukan iaitu bola sepak lelaki, bola tampar dewan dan badminton.
Katanya, dengan berbaki 13 hari lagi sebelum SUKMA bermula, segala persiapan baik dari aspek penyediaan venue, tempat penginapan atlet serta pegawai dan sebagainya perlu bersedia sepenuhnya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Sukma XXI Sarawak 2024 Bahagian Sibu di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Sibu pada Ahad.
Hadir sama Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, pihak Sekretariat SUKMA XXI Sarawak 2024 serta wakil-wakil dari 20 Jawatankuasa Kerja terlibat.
Untuk Bahagian Sibu, seramai 940 atlet termasuk jurulatih, pegawai teknikal dan pasukan PDRM akan terlibat.
Sukan badminton akan diadakan di Stadium Tertutup Sibu, bola tampar dewan di Dewan Bola Tampar Rejang Park Sibu dan bola sepak lelaki di Stadium Tun Ahmad Zaidi dan Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim Sibu. – EDISI UKAS