Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi & Premier Sarawak Tunaikan Solat Sunat Aidilfitri

Disiarkan pada 10 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek Negeri Sarawak di sini hari ini.

Mengiringi beliau yang tiba pada jam 7.52 pagi ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. 

Solat sunat Aidilfitri itu telah dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi bersama lebih 5,000 umat Islam.

Usai menunaikan solat Aidilfitri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi dijadual mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 di Astana Negeri Sarawak bermula 9 pagi hingga 4.30 petang pada 1 Syawal. 

Manakala, Datuk Patinggi Abang Zohari pula mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Hari Raya pertama jam 10.30 pagi hingga 3 petang dan Hari Raya kedua pada jam 10 pagi hingga 2 petang. 

Turut hadir mengimarahkan lagi pagi Syawal itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS