STIU Laksana Inisiatif CSR Penanaman Pokok Di Hutan Simpan Bakam

Posted on 03 Aug 2024
Source of News: UKAS


MIRI: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) telah melaksanakan satu program penanaman pokok sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kerjasama Pejabat Hutan Wilayah Miri di Hutan Simpan Bakam di sini, pada Sabtu.
 
Hasil kerjasama 47 kakitangan dari kedua-dua agensi terlibat telah membolehkan spesis anak pokok Bintangor Bukit ditanam pada program tersebut.
 
Menurut Pengarah STIU Superi Awang Said, program ini dilaksanakan sebagai inisiatif menyokong Kempen Penghijauan Sarawak (Greening Sarawak Campaign) yang menyasarkan penanaman 35 juta pokok menjelang tahun 2025.
 
“Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada biodiversiti dan pemulihan ekosistem, malah ia membantu dalam mencapai matlamat yang lebih luas iaitu Agenda Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bermula tahun 2021 hingga 2025,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
                                                                    
Dalam program sama, Pegawai Hutan Wilayah Miri Liam Dibor berkata Hutan Simpan Bakam merupakan bekas kawasan pembalakan dan usaha pemuliharaan sedang giat dilakukan bagi menjamin kepentingannya dalam kepelbagaian biologi, sumber hasil bukan kayu serta kawasan tadahan air.
 
Untuk rekod, hutan simpan berkeluasan 907 hektar itu telah diwartakan sebagai Kawasan Hutan Kekal (PFE) pada tahun 2023 sejajar dengan hasrat kerajaan Sarawak untuk meningkatkan jumlah tanah yang diwartakan sebagai PFE kepada 6 juta hektar pada masa akan datang.
 
Sementara itu, STIU giat menjalankan program penanaman pokok ini sebagai inisiatif CSR berterusan pada tahun ini.
 
Selain itu, program-program CSR lain turut dijalankan termasuk gotong-royong sekitar kawasan Taman Budaya Kuching pada 13 Julai lepas dan program pengumpulan pelbagai bantuan sepanjang bulan Julai yang akan disumbangkan kepada golongan memerlukan. -EDISI UKAS