65 Ibu Tunggal Dari Kampung Melayu Di Spaoh Terima Sumbangan

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
SPAOH: Seramai 65 orang ibu tunggal daripada Kampung Melayu dan saudara-saudara baru dari kawasan Spaoh menerima sumbangan daripada Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
 
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Betong yang mewakili  Datuk Amar Douglas Uggah dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin dengan tema 'Menyantuni Saudara Baru dan Ibu Tunggal Spaoh' bertempat di Masjid Darul Syifa, Spaoh baru-baru ini.
 
Majlis tersebut merupakan anjuran Lembaga Amanah Khirat Islam Spaoh (LAKIS) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Syifa Spaoh.
 
Kehadiran Dr Richard Rapu juga adalah bagi menyempurnakan upacara penyampaian sumbangan dan seterusnya menghadiri majlis berbuka puasa bersama para hadirin.
 
Turut hadir adalah Pengerusi LAKIS Dr. Abang Ismail Abang Julaihi, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Syifa Spaoh Ali Baba Narani dan Kaunselor Abang Suhordie Abang Zaini. -EDISI UKAS