Sarawak Sasar Bebas Kanser Serviks Menjelang 2030

Disiarkan pada 03 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak menetapkan sasaran untuk menjadikan negeri ini bebas kanser pangkal rahim atau serviks menjelang tahun 2030.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata, matlamat utama adalah untuk menekankan kepentingan pencegahan dan pengurusan penyakit tersebut, daripada sekadar membina lebih banyak hospital kanser.

“Kanser serviks adalah jenis kanser pertama yang boleh dihapuskan dan ini adalah pelaburan yang akan memanfaatkan masyarakat tidak kira di peringkat usia muda dan tua bagi meningkatkan kesejahteraan hidup,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa penubuhan makmal kanser serviks di Sarawak akan menjadi platform utama untuk melaksanakan proses saringan secara meluas di peringkat negeri.

“Ini kerana Sarawak berada di kedudukan kedua tertinggi dalam laporan insiden kanser serviks, dan kita memerlukan orang ramai untuk menjalani ujian supaya rawatan awal boleh dilakukan sekali gus mencegah peningkatan kes,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pelancaran Program HPV – Leaving No One Behind di sini, pada Sabtu.

Program tersebut merupakan kerjasama inovatif antara Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Yayasan ROSE untuk menghapuskan kanser serviks dalam kalangan wanita berumur 30 hingga 65 tahun di Malaysia dengan tumpuan khusus pada negeri Sarawak.

Terdahulu, LIAM telah menyerahkan cek bernilai RM650,000 kepada Yayasan ROSE untuk membolehkan yayasan tersebut mendekati wanita di Sarawak yang berpotensi dijangkiti HPV, terutamanya di kawasan terpencil. –EDISI UKAS