PADAWAN: Seramai 97 pekebun lada di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat menerima bantuan baja daripada Jabatan Pertanian.
Antaranya merupakan pekebun terpilih dari 10 buah kampung iaitu Kampung Belimbing Darul Islam, Kampung Belimbing Kawa, Kampung Begu, Kampung Pesang, Kampung Subang, Kampung Krian, Kampung Sira, Kampung Gayu, Kampung Serumah dan Kampung Peraya.
Majlis penyerahan baja disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Menurut beliau, seorang pekebun ditetapkan 12 beg baja menjadikan sebanyak 1,164 beg baja lada diagihkan dengan kos peruntukan keseluruhan sebanyak RM222,324.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat memberitahu, pihak Jabatan Pertanian Siburan sebelum ini turut menyalurkan bantuan sama kepada 76 pekebun melibatkan 912 beg baja dengan kos keseluruhan sebanyak RM174,192.
Setakat ini, jumlah keseluruhan pekebun baja yang telah menerima bantuan adalah sebanyak 173 pekebun melibatkan 20 buah kampung.
Manakala, jumlah beg baja yang telah disalurkan adalah sebanyak 2,076 dengan peruntukan yang telah dibelanjakan setakat ini sebanyak RM396,516.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Damen Rejek, Pegawai Pertanian Jabatan Pertanian Bahagian Serian Heidylia Joshua, Penyelaras Program Baja Kelapa Sawit dan Lada Mariane dan Pegawai Pertanian Daerah Siburan Christ Owen. -EDISI UKAS