SDO Lulus RM970,284 Dana SejaTi Madani Di Simunjan

Disiarkan pada 03 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN: Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) melalui Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM970,284 melalui Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) kepada 10 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Simunjan.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee memberitahu bahawa program SejaTi Madani ini merupakan projek 'quick win' yang memberi manfaat segera kepada penduduk kampung.

"Saya harap gunakanlah peruntukan ini secara berhemah dan mohon war-warkan serta terangkan kepada penduduk kampung dengan jumlah yang telah diluluskan oleh kerajaan kepada JKKK.

"Projek ini merupakan projek 'quick win' yang bermaksud projek singkat di mana kurang daripada enam bulan ia telah boleh mendatangkan hasil dan ini adalah tujuan projek tersebut diadakan agar dapat memberi manfaat segera kepada sesuatu komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan ‘Mock Cheque’ sempena Program SejaTi Madani kepada JKKK di Daerah Simunjan pada Jumaat.

Jelas beliau, objektif utama program SejaTi Madani adalah untuk memperkasakan aktiviti ekonomi dengan membuka peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan pendapatan komuniti setempat.

Beliau berharap semua JKKK berjaya dalam program ini serta menggunakan peluang yang telah diberikan oleh kerajaan dengan memberi fokus kepada lima sektor seperti pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris menggesa ahli JKKK agar mengambil dan merebut peluang keemasan yang diberikan ini sebagai platform untuk memperkasakan ekonomi penduduk kampung.

Antara JKKK yang menerima dana tersebut ialah JKKK Kampung Pantong Melayu, Kampung Kelka Hulu, Kampung Sageng Ulu, Kampung Kelka Tengah, Kampung Lintang Hijrah, Kampung Simunjan Jaya, Kampung Temiang, Kampung Hijrah, Kampung Sageng Sabal dan Kampung Tanjung Harapan.

Hadir sama ialah Pengarah SDO Jasni Jubli, Pegawai Daerah Simunjan Seroji Ludin, wakil Residen Bahagian Samarahan Nina Suzieanna Suut dan Timbalan Pengarah SDO Aziba Rashidi. -EDISI UKAS