MIRI: Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali Ke Sekolah (MDK) merupakan usaha meningkatkan pembudayaan ilmu pelajar dalam kelas.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Hazami Jahari berkata, program itu dianjurkan oleh DBP bertujuan untuk membantu guru Bahasa Melayu dalam mempelbagaikan kaedah dan teknik dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.
“Dalam menggalakkan pembudayaan ilmu, program ini terus dilaksanakan untuk pelajar dan guru di sekolah rendah dan di sekolah menengah terpilih kerana mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pihak sekolah.
“Program ini juga merupakan suatu usaha untuk memperkasakan budaya membaca di sekolah menerusi penggunaan bahan bacaan yang berkualiti seperti majalah kerana dapat mempertajam minda pelajar dan membantu guru meningkatkan prestasi PdP,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali Ke Sekolah di Sekolah Menengah (SM) Sains Miri di sini pada Jumaat.
Dr Hazami berkata, program MDK sememangnya berupaya menggalakkan pelajar berkarya menerusi bimbingan aktiviti berkumpulan dan simulasi yang dijalankan.
“Hasil daripada program ini, para pelajar digalakkan untuk menyerahkan karya mereka kepada DBP dan karya terpilih akan disiarkan menerusi majalah Dewan Siswa.
“Program MDK turut diadakan untuk pelajar bagi mendekatkan diri mereka dengan majalah terbitan DBP,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sarawak Abang Haliman Abang Julai berkata, majalah terbitan DBP mampu digunakan sebagai bahan bantu PdP untuk meningkatkan kecekapan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi dalam kalangan pelajar.
"Melalui pembacaan dan penganjuran program MDK, para guru dapat mendidik para pelajar menjadikan Bahasa Melayu sebagai saluran pengungkapan buah fikiran dan ilmu pengetahuan yang berkesan, betul dan indah," katanya.
Difahamkan, Program MDK itu berlangsung selama dua hari pada 1 Ogos di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Miri dan berakhir di SM Sains Miri bertujuan memperkasakan budaya membaca dalam kalangan pelajar. -EDISI UKAS