Empat Projek RTP Diluluskan Di Meradong

Disiarkan pada 02 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Sebanyak empat projek telah diluluskan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 di kawasan Meradong. 

Pegawai Pusat Khidmat Sarikei, Gung Chiu Kion bersama Penolong Jurutera Majlis Daerah Meradong dan Julau, Churchill Barrak mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii telah turun padang untuk membuat tinjauan di tapak bagi membincangkan butiran projek dengan ketua rumah atau ketua kampung.

Projek tersebut merangkumi pembinaan baru tempat letak kereta di Surau Kampung Selemas Bintangor dan projek naiktaraf jalan di Rumah Ngipa Andieng Sg Buloh.

Selain itu, projek RTP di kawasan ini juga melibatkan projek baikpulih ‘plankwalk’ menuju ke sungai di Rumah Empani Budom Sg Meradong serta projek baikpulih ‘plankwalk’ menuju ke sungai di Rumah Stanley Maran Sg Buloh.

Penduduk Daerah Meradong juga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Dato’ Sri Huang di atas keprihatinan beliau terhadap projek yang dilaksanakan bagi menaik taraf kemudahan asas di kawasan ini. -EDISI UKAS