KUCHING: Sarawak sekali lagi dijadikan platform untuk memperkasakan orang kurang upaya (OKU) apabila dirisik menjadi tuan rumah bagi Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas (ICSE) pada tahun depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kementeriannya sentiasa terbuka dalam menjalankan inisiatif persidangan peringkat antarabangsa untuk membina lebih banyak peluang dan memperkasakan golongan OKU.
“Persidangan ini merupakan platform berharga untuk mempelajari amalan dan dasar terbaik dari negara-negara lain, kerana melalui perkongsian maklumat, kita dapat meningkatkan kesejahteraan komuniti kita yang mempunyai keperluan khas khususnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima kunjungan hormat daripada Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara-Pusat Serantau Pendidikan Khas (SEAMEO SEN) di sini pada Jumaat.
Kunjungan hormat itu antara lain untuk membincangkan potensi latihan kepada Petugas PDK di Negeri Sarawak menggunakan Modul Latihan Kemahiran Penjagaan Kanak-kanak Autistik (ASD) dan Kelewatan Perkembangan/Kecelaruan (NDD) yang telah dibangunkan oleh World Health Organization (WHO) dan Autism Speaks.
Terdahulu, beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak dan Persatuan Silamban Sarawak selaku Pengerusi Bersama SUKMA dan Para SUKMA Sarawak 2024. –EDISI UKAS