Keharmonian Tonggak Kekuatan Sarawak Sebagai Wilayah Aman & Makmur

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Masyarakat pelbagai kaum dan agama diajak untuk memastikan suasana kehormonian terus terjalin di Bumi Kenyalang.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keharmonian menjadi faktor tonggak kekuatan untuk menjadikan Sarawak wilayah yang aman dan makmur.  

"Bagi masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak, sudah menjadi kebiasaan bahawa Hari Raya Aidilfitri dikongsikan dengan kaum-kaum lain dengan amalan kunjung-mengunjung sama seperti suasana pada Tahun Baru Cina, Gawai Dayak, Krismas atau Deepavali. 

"Marilah kita sama-sama berdoa agar suasana keharmonian akan terus terjalin di Bumi Kenyalang yang kita cintai kerana itulah tonggak kekuatan untuk menjadikan Sarawak wilayah yang aman dan makmur," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri, pada Selasa.

Datuk Patinggi Abang Zohari juga menambah ibadah puasa di sepanjang bulan Ramadan bukan hanya untuk menahan lapar dan dahaga malah umat Islam telah bermujahaddah melawan nafsu sambil menyemai sifat keinsafan serta belas kasihan terhadap golongan yang kurang bernasib baik yang terpaksa mengharungi kesusahan hidup.

"Maka dengan penuh keinsafan dan amal jariah umat Islam menyambut hari kemenangan pada Aidilfitri yang mulia ini dengan penuh rasa kesyukuran dan keriangan," tambahnya. -EDISI UKAS