Sarawak Pusat Tenaga Boleh Diperbaharui Asia, Angkat Nama Bumi Kenyalang Di Pentas Global

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Sarawak Pusat Tenaga Boleh Diperbaharui Asia atau 'Sarawak-Asia’s Renewable Powerhouse' merupakan jenama yang akan mengangkat nama Bumi Kenyalang di pentas global.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif itu merupakan usaha ke arah kelestarian dari pelbagai sudut selaras dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kelolaan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menurutnya, beliau yakin jenama itu mampu meletakkan Sarawak di persada serantau dan global sebagai hab sumber tenaga boleh diperbaharui dan juga sebagai hab inisiatif peralihan kepada penggunaan tenaga tanpa karbon dan pengurangan karbon ketika dunia bergerak ke arah 'net-zero' menjelang 2050.

"Kita juga mempunyai potensi 20 Gigawatt (GW) daripada sumber hidro dengan kapasiti penjanaan sebanyak 5.4 GW pada ketika ini yang telah membolehkan Sarawak menyediakan tenaga rendah karbon dengan tarif yang kompetitif kepada para pelabur. 

"Matlamat Sarawak seterusnya ialah untuk mengeksport tenaga ke Brunei dan Sabah dan penyaluran 1 GW ke Singapura menjelang 2032 melalui kabel dasar laut sepanjang 700 Kilometer (KM) selain penyaluran 190 Megawatt (MW) sedia ada ke Kalimantan Barat. 

"Pada masa ini, Sarawak Energy (SEB) sedang melaksanakan dasar bekalan tenaga hingga 10 GW atau 10,000 MW menjelang 2030 melalui penjanaan hidro dan turbin gas," ujarnya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2024 pada Selasa.

Premier Sarawak menambah, negeri ini akan terus membangunkan potensi sumber tenaga hidronya dengan kaedah yang membawa kesan minimal kepada alam sekitar dan kehidupan manusia.

"Saya telah memberi arahan kepada agensi berkaitan untuk mengkaji penjanaan kuasa dengan konsep sumber tenaga daripada empangan melata yang telah digunakan di negara-negara lain seperti Norway dan Kanada. Dengan persetujuan penduduk setempat projek tersebut akan bermula di Sungai Gat, Baleh, Kapit.  

"Sumber-sumber tenaga rendah karbon lain yang turut dibangunkan atau diteroka untuk memenuhi keperluan serantau termasuk pengeluaran hidrogen hijau dan bahan bakar penerbangan yang dihasilkan daripada alga atau bahan api penerbangan mampan (SAF), solar terapung dan biojisim (biomass) dalam bentuk 'pellets' daripada sumber hutan kita," jelasnya sambil berkata Sarawak turut bersedia memberi khidmat dan menyediakan sumber untuk membantu rantau ini mencapai matlamat 'net-zero' menjelang 2050.

Dalam perkembangan lain Datuk Patinggi Abang Zohari juga berkata, Sarawak sebagai ekonomi perdagangan dengan lokasi yang strategik di rantau Asia mempunyai masa hadapan yang cerah untuk membina ekonomi berasaskan pembangunan pelabuhan yang bertaraf dunia.  

Ujarnya, penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak harus dilihat dari segi mengintegrasikan pembangunan pelabuhan di Sarawak sebagai strategi baharu mentransformasikan ekonomi Sarawak. 

"Keberadaan sumber tenaga yang banyak tidak mencukupi sebagai faktor untuk menarik minat para pelabur tanpa adanya kemudahan infrastruktur khususnya pelabuhan.  
 
"Selama ini pembangunan pelabuhan secara menyeluruh tidak pernah dilihat sebagai inisiatif penting untuk memacu ekonomi Sarawak," jelasnya. -EDISI UKAS