KH Shinwa Korea Selatan Intai Peluang Kerjasama Dengan SEB

Disiarkan pada 31 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS

SEOUL: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai delegasi Sarawak mengadakan pertemuan dengan KH Shinhwa di Seoul, Korea Selatan pada Selasa lepas.

Dalam pertemuan itu, Shane Kang dari KH Shinhwa SnC menyatakan minat mereka untuk meneroka peluang perniagaan dan pelaburan kolaboratif dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam projek peningkatan keselamatan elektrik, termasuk pelaburan dalam teknologi dan penyelesaian baru untuk penjanaan kuasa.

KH Shinhwa kini sedang bekerjasama dengan SEB dalam projek penyelesaian solar mikrogrid hibrid dengan pelaburan bernilai AS$7 juta.

Hasil projek ini dijangka dapat menyediakan penyelesaian tenaga mampan alternatif dan menetapkan penanda aras baru dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui.

Turut mengiringi rombongan tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Haji Majais dan pegawai kanan kerajaan lain. -EDISI UKAS