Jangan Lupa Golongan Kurang Berkemampuan & Rakyat Palestin Dalam Meraikan Aidilfitri: Yang di-Pertua Negeri Sarawak

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
KUCHING: Rakyat Sarawak diseru supaya tidak melupakan golongan kurang berkemampuan dalam kegembiraan mereka meraikan Aidilfitri tahun ini.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menekankan pentingnya tidak melupakan anak-anak yatim, warga tua, orang kurang upaya (OKU) termasuk rakyat Palestin di Gaza yang sedang menghadapi ujian. 

Justeru, beliau mengajak semua rakyat di negeri ini untuk bersatu mendoakan kesejahteraan mereka dipulihkan dan pergolakan itu segera berakhir.

“Dalam kegembiraan kita merayakan Aidilfitri yang mulia ini, suka saya mengingatkan agar kita tidak melupakan golongan yang kurang berkemampuan, anak-anak yatim, warga tua, golongan OKU dan keutamaan rakyat Palestin di Gaza yang sedang diuji dengan isu kemanusiaan.

“Mari kita sama-sama memanjat doa dan pengharapan agar kemelut yang mereka hadapi sekarang ini akan segera berakhir,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2024 pada Selasa. 

Sementara itu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut menyokong kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang memberi tumpuan kepada penyediaan pendidikan percuma di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Sarawak. 

“Saya amat mengalu-alukan kepimpinan Premier Sarawak kita untuk menyediakan pendidikan percuma di semua institut pendidikan tinggi awam negeri menjelang 2026.

“Langkah kerajaan Sarawak memberikan tumpuan dalam memperkasakan bidang pendidikan adalah sesuatu yang tepat untuk dilaksanakan,” ujar beliau. 

Dalam kesempatan itu juga, beliau dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta seluruh keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat islam di Sarawak yang meraikannya.-EDISI UKAS