Kerajaan Perpaduan Stabil, Didokong Kerajaan GPS

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



LIMBANG: Kerajaan Perpaduan menjadi stabil dengan adanya sokongan kuat kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menerajui kerajaan Sarawak.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, rakyat perlu menyokong kerajaan semasa sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

"Alhamdulillah dengan sokongan GPS, kerajaan Perpaduan ini menjadi sebuah kerajaan yang stabil walaupun ada pergolakan-pergolakan yang berlaku di seberang sana dan banyak isu yang timbul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Kota di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu menyeru agar Pemuda PBB untuk sentiasa peka dengan keadaan semasa dan turut bersiap sedia untuk Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Tinggal dua tahun lagi untuk tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan datang iaitu pada tahun 2026. 

"Jadi Pemuda PBB mestilah siap siaga dan terus memperkemaskan dan meningkatkan pengetahuan dalam semua hal tidak semata-mata untuk berpolitik tapi kita kena tahu juga perkembangan semasa," ujarnya.

Pada majlis tersebut, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail telah menyampaikan sumbangan kepada 50 asnaf dan anak yatim mewakili Pemuda PBB. -EDISI UKAS