Program LCDA Prihatin Manfaatkan 25 Asnaf

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) telah mengadakan Program LCDA Prihatin dengan menyampaikan sumbangan Aidilfitri di Surau Muara Tabuan.

Melalui program tersebut, seramai 25 golongan asnaf yang terdiri daripada pesakit kronik, warga emas dan ibu tunggal dari kawasan tersebut mendapat manfaat daripadanya. 

Penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh pemangku Pengurus Besar LCDA, Kusyairi Bostani di Flat Tabuan Park baru-baru ini. 

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis, program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LCDA bagi tahun ini. 

Sumbangan itu juga merupakan inisiatif LCDA untuk meringankan bebanan penerima dalam menyediakan persiapan serta memberi keceriaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Majlis ini turut dihadiri oleh Penghulu Kampung Tabuan Melayu Amzah Dollah, Pengurus Bahagian Hal Ehwal Korporat LCDA Sapheri Rosli, wakil-wakil dari Ahli Jawatankuasa Flat Tabuan Park dan kakitangan LCDA. -EDISI UKAS