LIMBANG: Kawah lumpur gunung berapi yang dikenali sebagai 'lumpur bebuak' di Kampung Meritam diyakini berpotensi besar untuk dijadikan bahan mentah dalam penghasilan produk perubatan atau kecantikan.
Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, lumpur yang keluar dari perut bumi itu dipercayai mempunyai manfaat yang baik untuk kulit dan kesihatan secara keseluruhan.
Menurutnya, ia sangat terkenal dalam kalangan masyarakat setempat sebagai penawar semula jadi, malah hampir setiap hari pelawat berkunjung ke situ untuk menikmati 'rawatan lumpur bebuak', yang dikatakan boleh menjadi terapi menenangkan minda dan sesuai sebagai 'masker' untuk dilumur ke seluruh anggota badan selain dapat mengubati penyakit kulit.
"Saya mengesyorkan lumpur bebuak ini dibuat kajian, manalah tahu kandungannya sesuatu yang baik, berkhasiat atau boleh dipromosikan menjadi produk berasaskan sumber asli untuk kulit dan sebagainya.
"Ia juga mungkin boleh meningkatkan pendapatan penduduk setempat atau menarik pelabur mahupun usahawan untuk membangunkan produk berkenaan,"katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Lumpur Bebuak 2024 di sini pada Ahad.
Menyentuh mengenai projek terbengkalai pula, jelas Datuk Hasbi, jalan Meritam-Telahak-Buangabai-Malagangai Fasa 2 kini sedang dalam proses untuk diteruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Jelasnya lanjut, projek yang sering diperkatakan di media sosial itu menghadapi kelewatan dan gagal disiapkan sebelum ini kerana kontraktornya didakwa tidak bertanggungjawab dan telah cabut lari menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.
Justeru, beliau menekankan kepentingan memilih kontraktor berdaftar yang berwibawa dan layak untuk melaksanakan projek pembangunan di kawasan Limbang serta mengelak daripada memilih kontraktor 'dua ringgit' yang boleh menimbulkan masalah di kemudian hari.
Hadir sama di majlis itu ialah Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Walikota Majlis Daerah Limbang Sufian Mohat, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Limbang Kaunselor Adison Langgar Injan, wakil Jawatankuasa Pengelola Pesta Lumpur Bebuak 2024 Kaunselor Roszuina Labet dan Temenggong Leong Boong Ming.
Pesta Lumpur Bebuak 2024 yang diadakan selama dua hari bermula 27 Julai lepas menampilkan pelbagai aktiviti telah disusun atur termasuk pertandingan bola tampar, tarik tali, memanjat dinding, 'flying fox', cabutan bertuah, karaoke dan banyak lagi.-Edisi UKAS