KKR Komited Pertingkat Kualiti Jalan Persekutuan Di Sarawak

Disiarkan pada 09 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) komited dalam memperkasakan aspirasi MYJalan dan mereformasikan pembangunan infrastruktur negara selari dengan prinsip rukun Madani yang menekankan kesejahteraan ihsan.

Dalam satu kenyataan media pada Selasa, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menegaskan komitmen KKR untuk memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti Jalan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, pada 8 April 2024, satu sesi mesyuarat telah diadakan di antara KKR dan pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di Wisma Saberkas, Kuching Sarawak yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Pengarah JKR Sarawak, Datu Ir. Ts. Richard Tajan serta pegawai-pegawai KKR pusat dan JKR Sarawak.

“Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan hala tuju bagi memperkemaskan reka bentuk dan isu penyenggaraan jalan negeri dan Jalan Persekutuan di Sarawak terutamanya yang berkaitan dengan isu jajaran redline.

“Usaha ini diharapkan dapat mengoptimakan daya sumber Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri Sarawak.

“Dalam konteks ini, istilah 'redline' merujuk kepada laluan asal sebelum pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB). Jajaran redline ini melibatkan kawasan Kuching, Serian, Sibu, Bintulu, Julau dan Miri di Sarawak.

“Standard laluan redline ini perlu dinaiktaraf agar sejajar dengan standard yang ditetapkan di bawah pembinaan baru LPB,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa sebahagian daripada jajaran redline tersebut tidak terlibat dalam pembinaan LPB Sarawak Fasa 1 yang melibatkan laluan sepanjang 786 kilometer dan sehingga kini, terdapat jajaran jalan sepanjang 136.7 kilometer yang perlu dinaiktaraf seiring dengan standard laluan LPB Sarawak Fasa 1.

“Melalui mesyuarat ini, beberapa model penyelesaian telah dicadangkan dan KKR sedang meneliti semua cadangan bersama JKR Sarawak sebelum keputusan akhir dibuat di peringkat Persekutuan.

“Status terkini penyiapan LPB Sarawak Fasa 1 adalah 99 peratus dan dijangka dibuka sepenuhnya pada suku kedua tahun 2024, kecuali Seksyen Lambir (WPC11) di Miri yang perlu direkabentuk semula dan dijangka siap pada tahun 2026.

Dalam masa sama, Dato Sri Alexander dan pasukan KKR pusat juga telah menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi dalam memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur jalan dan perabot jalan Persekutuan di Sarawak demi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya. -EDISI UKAS