Sarawak Kekal Jadi Destinasi Pelaburan, Jumlah Pelaburan Diluluskan Cecah RM10.4 Bilion Setakat Jun 2024

Disiarkan pada 29 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak terus kekal menjadi destinasi pelaburan utama dengan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM10.4 bilion setakat Jun 2024.
 
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jumlah pelaburan yang diluluskan itu adalah termasuk yang di bawah Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC).
 
Menurut beliau, daripada jumlah pelaburan yang diluluskan itu, ia membabitkan RM 5.7 bilion dengan pelaburan langsung asing (FDI) dan RM4.7 bilion dengan pelaburan langsung domestik (DDI).
 
“Terdapat juga pelabur asing yang telah menunjukkan minat untuk melabur dalam Sarawak di mana siri pertemuan dengan pelabur dan pihak berkepentingan telah diadakan.
 
“Nilai pelaburan yang berpotensi ini nilai mencecah RM117.4 bilion,” katanya semasa sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Sarawak, di sini pada Isnin.
 
Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
 
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak  
turut mengusulkan cadangan supaya Pelabuhan Senari Kuching dan Miri dijadikan zon perdagangan bebas cukai.
 
"Kita (Kerajaan Sarawak) sudah mencadang usul zon bebas dan saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kerana memberikan respons yang positif.
 
"Kita tumpukan perhatian kepada dua pelabuhan ini dahulu iaitu Pelabuhan Senari dan Pelabuhan Miri kerana memang wujud keperluan yang sama seperti di Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Samalaju," tambah beliau.-EDISI UKAS